[ Blog Ini Aku Tak Harap Orang Faham Atau Jerit Tak Faham!!! ]

Protected by Copyscape Plagiarism Software

Khamis, 29 April 2010

Hilangnya Doa Seorang Ibu

Hari ini 29 april 2010. Hari ini hari kedua aku yang tidak seperti hari-hari sebelumnya.

Tanggal 28 april 2010 jam lebih kurang 8.15 pagi. Ketika aku baru sahaja duduk di atas kerusi, baru sahaja membuka komputer di pejabat, baru sahaja menyemak lalulintas blog di nuffnang, baru sahaja bersembang dengan rakan sekerja, aku menerima panggilan telefon dari abah. Selepas memberi salam dan menanyakan lokasi aku, abah diam seketika. Selepas itu abah memberitahu aku 'ummi dah tak ada, pukul 7.00 pagi tadi'. Ayat itu seakan menarik keluar separuh dari nafas ku. Walaupun dalam hati aku berkata-kata yang abah mungkin sedang membuat lawak di pagi bulan april. Seakan tidak percaya! Ummi sihat. Dan aku baru sahaja bercakap dengannya pada jam 8.30 malam dua hari sebelum pemergiannya. Dan aku sempat berjumpanya seminggu sebelum itu. Aku telah mengambil cuti dan berada di kampung selama lima hari. Sempat aku merasa hidangan gulai ketam dan udang sambal kegemaran yang dimasak arwah. Ingat lagi pesanan terakhir arwah ketika bercakap dalam telefon. "Balik nanti bawak kereta hati-hati, jaga diri elok-elok, ummi saja je telefon".

Segalanya seakan tidak ada apa lagi yang harus difikirkan selain pulang dan melihat dengan mata sendiri. Otak dan minda sedar seakan tergendala seketika. Fokus ku cuma pulang ke kampung yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Aku terus keluar dari pejabat dan memandu pulang. Aku cuma mahu pulang. Mahu sampai secepat mungkin. Menaiki flight adalah pilihan. Terus aku menelefon seorang rakan untuk melihat senarai penerbangan melalui internet. Hampa bila semua penerbangan di waktu pagi telah penuh. Yang tinggal hanya untuk waktu tengah hari.

Dengan jasa baik dan nilai persahabatan. Seorang rakan mempelawakan diri untuk menghantar aku ke kampung. Dari Seremban ke Kota Bharu, air mata yang mengalir seakan tidak mahu berhenti. Walaupun aku cuba untuk bertenang. Tapi air mata itu tetap keluar mengalir dari mata ku dan seakan tidak boleh dibendung lagi. Kami bertolak lebin kurang pukul 9.00 pagi dan cuba untuk smpai seawal mungkin. Semasa perjalanan abah, along, angah dan alang menelefon ku dan bertanyakan lokasi. Semua adik dan abang aku yang tinggal berjauhan telah pun sampai. Abah memberitahu yang arwah akan dikebumikan selepas waktu asar. Aku tiba di rumah nenek pada pukul empat lebih. Jenazah siap dimandikan (terkilan kerana tidak sempat untuk bersama memandikannya). Ketika aku sampai, jenazah baru hendak dikafankan.

Wajah pucat dan tubuh kaku itu, itulah hawa yang melahirkan ku. Itulah hawa yang menyusukan ku. Itulah hawa yang menjaga ku. Itulah hawa yang membesarkan ku. Itulah hawa yang mendidik ku. Ku peluk dengan erat. Ku kucup mukanya. Sambil ku menahan tangisan ku. Menahan air mata ku supaya tidak jatuh ke atasnya. Selama 23 tahun 10 bulan dan 28 hari. Dia adalah separuh dari nafasku. Kata abah 'jangan menangis, ummi pergi pun ummi tak sakit, dah sampai masa dia kita kena redha'.

Aku mengiringi jenazah ke masjid untuk disembahyangkan. Mengiringinya ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Ku lihat arwah dimasukkan ke liang lahad. Dan liang itu dikambus. Ummi dah tiada. Sekali lagi aku gagal. Air mata ku tumpah lagi. Kata along 'dah jangan nangis, nanti dah sampai masa kita, kita jumpa ummi lagi'. Kami semua meniggalkan tanah perkuburan. Arwah di sana. Berseorangan. Suasana suram jelas dapat aku rasakan. Ku lihat abah. Matanya merah. Aku tahu abah sangat sedih. Tapi abah tak akan menangis. Demi anak-anak. Demi kami. Demi dua orang adik aku yang masih kecil. Seorang berumur 12 tahun dan seorang lagi adik angkat aku yang baru 6 tahun.

Kini cuma doa anak-anak yang mengiringi arwah di sana. "Ya Allah swt yang maha penyayang, maha mengampuni, maha mengasihi lagi maha Esa, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau ya Allah. Ya Allah, hanya Engkau tempat aku memohon pertolongan. Kau ampunilah segala dosa ibu ku sepanjang hayatnya di dunia Mu ini ya Allah, Kau permudahkan lah perjalananya di alam sana. Kau lindungilah dia ya Allah. Kau sayangilah dia ya Allah sepertimana dia menyayangi Mu. Kau peliharalah dia dari siksa kubur dan siksa neraka ya Allah. Amin.". Al-fatihah untuk ibu tersayang.

Kepada kamu yang masih mempunyai ibu dan bapa. Kamu beruntung. Sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi kamu. Doakan lah mereka. Mohonlah tuhan panjangkan umur mereka. Kehilangan mereka itu perkara yang sangat besar untuk kamu hadapi. Dan aku, bagi aku segala galanya hidup aku adalah keluarga ku. Selepas ini aku mungkin akan pulang dan bertukar tempat kerja di Kota Bharu. Aku masih ada adik-adik yang masih kecil. Yang masih bersekolah. Aku juga ada adik perempuan yang baru berusia 6 tahun. Selagi hayat aku ada, akan ku janji untuk menjaga mereka. Tak akan aku tinggalkan abah berseorangan. Memandangkan angah dan alang masih belajar. Biarkan mereka terus kekal di KL dan Ipoh sehingga tamat pengajian. Aku akan pulang.

Hidup aku telah kehilangan sesuatu yang amat berharga. Aku kehilangan ibu ku. Aku, adik-adik ku, abang-abang ku, mahupun abah ku, kini kami terpaksa hidup tanpa perkara yang sangat penting. Iaitu DOA SEORANG IBU. ='(

Terima kasih untuk sahabat yang sanggup menghantar aku pulang. Jasa mu akan ku kenang sampai bila-bila pun. =,)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan