[ Blog Ini Aku Tak Harap Orang Faham Atau Jerit Tak Faham!!! ]

Protected by Copyscape Plagiarism Software

Jumaat, 21 Mei 2010

Surat Cinta Versi Pecah Kaca Pecah Gelas, Pecah Perut Haraf Maaf

Ke hadapan sayangku yang amat ku rindui,

Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan cahaya di bawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eurika nostalgia cinta lama yang kita palitkan berdua. Kehadiranmu bersama molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit tali perutku. Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu gelora dan syahdu di tasik madu.

Kau juga mengajarku erti cinta, babun, singa laut, beruang kutub, penguin, kambing salji, mi rebus, cendol, koridor, kotak pensil, tali kasut dan pasu bunga. Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka. Atau bagai cerite Winter Sonata. Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tidak dapat dipisahkan.

Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Marikh itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak cipan di Burma. Kau pergi jua ketika Malaysia sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Kitar Semula Kebangsaan 2007. Alangkah tandusnya padang pasir hatiku ini.

Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada pembakaran hutan secara besar-besaran di sempadan Kalimantan. Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan hepatitis-Q secara mengejut. Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke ruang angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tidak lagi berfungsi setelah aku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan hingga ke ‘rubber-set’. Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelap gelita bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stlagit dan stlagmit tajam bagai sembilu.

Kondominium cinta yang kita bina dari ‘mud–guard’ basikal dan kipas helikopter akhirnya musnah setelah kau berpaling tadah. Ternyata sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa raya. Sejak itu kau sering melarikan diri 4×400m bila terserempak dengan atuk aku. Akhirnya aku menyedari bahawa ada apa dengan cinta dan diri ini tidak diperlukan lagi.

Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar nampak lebih cantik. Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah ke mana menghilang. Aku cuba bermain badminton sambil makan mi hailam untuk melupakanmu, tetapi aku tak berdaya. Lalu aku membakar mesin basuh dan membelasah empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda aku tidak bersalah.

Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua bisa terjadi? Mengapa setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri? Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu dari Bukit Lenjan yang kau timpakan di atas belakangku. Derita yang kau timpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk ku tanggung bagaikan mendukung 85 ekor biawak dan 386 ekor anak beruk. Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT dan kemudiannya digilis pula keretapi Komuter hingga aku hancur berkecai. Oh! Terlalu berat dugaan yang kutempuhi.

Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa aku. Aku hanya insan biasa yang suka makan mi segera. Aku bukan McGuyver, McDonald’s, Superman, Ultromen Taro atau Kesatria Baja Hitam. Aku juga bukanlah Power Rangers seperti yang kau idam-idamkan. Aku menyedari kekurangan beras di dapur dan kekurangan kemudahan tandas awam di tempat sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi capati dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun luput tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah pemberianmu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk dibuat makanan lembu.

Walaupun segalanya telah pun berakhir, di sini, di atas pokok durian ini aku tetap menunggu kau akan kembali. Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut selipar di sekitar Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak berpecah, aku tetap menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan. Namun aku menyedari bahawa penantianku hanyalah sia-sia belaka.

Akhirnya aku mengambil keputusan muktamad untuk tidak menggunakan talian hayat ketiga serta terus menunggu tiang elektrik di hadapan rumahku berbuah. Kalau tiang elektrik ini berbuah nanti, akan ku panggil POSLAJU untuk kuposkan buahnya kepadamu. Nak tak?

Sekian, wassalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan